
10 SEKOLAH AGAMA MELAKA TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER
PENGKALAN BATU 27 Oktober – Sebanyak 10 Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di negeri ini menerima sumbangan komputer baharu.
Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, sumbangan itu bertujuan memperkasa sistem pendidikan sekolah agama, selain memudahkan urusan pelajaran dan pembelajaran.
Katanya, sumbangan tersebut diagihkan secara berperingkat melibatkan sekolah-sekolah agama terpilih di setiap Parlimen di negeri ini.
“Sumbangan ini adalah hasil daripada kutipan potongan gaji kakitangan awam yang disumbangkan kepada pihak Baitulmal menerusi MAIM.
“Kita akan memperluaskan sumbangan ini dan akan lebih menumpukan kepada sumbangan berbentuk pendidikan teknologi makluman dan komunikasi (ICT) agar sistem penyampaian pendidikan lebih interaktif dalam pendidikan agama.
“MAIM berharap sumbangan yang diterima ini sekurang-kurangnya dapat membantu sekolah terlibat supaya mutu dan kualiti pendidikan sekolah agama di negeri ini terus diperkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sumbangan Manfaat Tabung Amal Jariah MAIM Tahun 2025 di SRA JAIM Taman Datuk Tamby Chik Karim (TDTCK) di Taman Merdeka, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Guru Besar, SRA JAIM TDTCK, Ruzezainy Kamaruzaman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

