Sorting by

×

16 BARANGAN KAWALAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KESIDANG 10 Februari – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 akan berkuat kuasa bermula 13 hingga 21 Februari ini, bagi memastikan harga barangan keperluan harian kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata SHMMP dilaksanakan selama sembilan hari, iaitu empat hari sebelum hari perayaan, pada hari perayaan serta empat hari selepasnya, selaras dengan pelaksanaan tahunan kerajaan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti 16 barangan kawalan harga sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP, namun jumlah barangan berbeza mengikut negeri.

“Sebanyak 16 barangan dikawal harga di Sarawak, manakala 15 barangan di Sabah dan Semenanjung Malaysia serta 14 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan, mengekalkan jumlah barangan seperti pelaksanaan pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini, empat barangan baharu yang ditambah di Sabah, Labuan dan Sarawak ialah sawi pendek, sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar dan bawang merah besar yang tidak termasuk dalam senarai skim pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika merasmikan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina di Taman Pandan Mawar, Lorong Pandan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Antara barangan lain yang terlibat dalam skim ini termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, bawang merah, cili merah, sawi Jepun, lobak putih, ubi kentang, babi hidup (kawalan di peringkat ladang), kepak ayam, daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak).

Menurutnya, tempoh pelaksanaan skim berkenaan ditetapkan bersesuaian dengan keadaan semasa bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak, dengan pengguna dapat menikmati harga berpatutan, manakala peniaga pula tidak terbeban dengan tempoh kawalan yang terlalu lama.

Armizan turut mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi penetapan harga maksimum yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, termasuk kewajipan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang terlibat dalam skim berkenaan.

“Kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang ini boleh dikenakan tindakan termasuk kompaun, denda atau tindakan lebih tegas sekiranya kesalahan serius.

“Untuk tujuan penguatkuasaan, pihak kementerian akan menggerakkan pegawai penguat kuasa termasuk yang berpakaian seragam dan tidak berpakaian seragam sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post TAMAN PERMAINAN TAMAN 1 KRUBONG KINI LEBIH MESRA OKU
Next post SEORANG MAUT, EMPAT CEDERA DALAM NAHAS DI LAMPU ISYARAT PADANG JAMBU