165 premis disanitasi bomba dalam tempoh 43 hari

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 12 Nov. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sudah melakukan 165 sanitasi dalam tempoh Oktober hingga hari ini susulan peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan.

Pengarahnya Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Abu Obaidat Mohamad berkata, proses sanitasi awam atau nyah cemar itu bukan hanya dijalankan bagi membersihkan kawasan yang berisiko berlaku penularan COVID-19, tetapi juga atas permintaan.

Beliau berkata, sepanjang Oktober sebanyak 89 sanitasi awam dilakukan pihaknya, manakala untuk tempoh 12 hari sahaja bulan ini sejumlah 76 sanitasi dilakukan pihaknya di negeri ini.

“Proses sanitasi ini membabitkan rumah ibadat, sekolah, bangunan kerajaan, kawasan perumahan, kawasan pelancongan dan perniagaan, pasar awam serta kawasan persendirian.

“Ia membabitkan kesemua daerah di negeri ini iaitu Melaka Tengah, Jasin serta Alor Gajah selain boleh dikatakan hampir setiap hari pasukan bomba akan melakukan sanitasi ke premis- premis,” katanya.

Ujar beliau, pada Rabu (semalam) sahaja sebanyak 10 premis telah disanitasi pasukan bomba antaranya membabitkan kawasan masjid, tadika, balai polis pelancong serta Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

Mengulas lanjut, Abu Obaidat berkata, selain melakukan sanitasi di premis atau bangunan lain, proses sanitasi juga akan dilakukan pihaknya di semua balai bomba dan penyelamat (BBP) di negeri ini sebagai langkah pencegahan.

Views:

304
Kongsi :
Previous post Demi tanggungjawab…
Next post Tabah jaga suami, anak OKU
Ubah saiz-+=