Sorting by

×

17 SEKELUARGA NIKMATI PESONA SUNGAI MELAKA WAKTU MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 November – Program Melaka Bila Larut Malam edisi November memberi kenangan manis kepada 17 sekeluarga selepas berpeluang menikmati keindahan Sungai Melaka dengan menaiki Melaka River Cruise di Jeti Taman Rempah, malam tadi.

Pengunjung dari Alor Gajah, Nurul Farhana Mohd Azmi, 38, berkata, pengalaman menaiki bot pada waktu malam bersama keluarga besar itu amat menyeronokkan dan berbaloi kerana suasana lebih tenang serta penuh warna-warni.

“Ini kali pertama kami sekeluarga datang beramai-ramai untuk menikmati inisiatif Melaka Bila Larut Malam dan menerokai keindahan Sungai Melaka waktu malam yang memang cantik.

“Suasananya meriah, anak-anak pun teruja sebab pertama kali naik cruise waktu malam dan yang lebih menarik ialah harganya yang murah, hanya RM10 seorang.

“Lebih teruja lagi bila dimaklumkan pembelian lebih RM50 dapat sertai cabutan bertuah Cruise Madani, jadi kami sepakat untuk turut serta sebab kebetulan beberapa ahli keluarga dari luar negeri pulang ke Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama disuarakan seorang lagi pengunjung, Fauziah Zainal, 57, yang menyifatkan Melaka Bila Larut Malam memberi peluang kepada rakyat tempatan merasai pengalaman pelancongan menarik di negeri sendiri.

“Selalunya bila sebut bot Melaka River Cruise orang fikir hanya pelancong luar yang naik, tapi bila ada program macam ni kami penduduk tempatan pun mahu cuba.

“Tambah pula ada cabutan bertuah dan diskaun, memang berbaloi sebab harga tiketnya murah dan kalau diberi peluang lagi saya memang bercadang untuk datang lagi pada edisi seterusnya,” katanya.

Sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi November, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya cabutan bertuah Cruise Madani bagi setiap pembelian RM50 ke atas serta promosi RM10 bagi pakej Richiamo dan Mini Minum eksklusif di Kafe Richiamo Taman Rempah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2542
Kongsi :
Previous post WRUR: PERKASA SEKTOR PELANCONGAN DURIAN TUNGGAL