
1,704 ADUAN RAKYAT DISELESAIKAN MENERUSI WRUR – AB RAUF
BANDA HILIR 20 Disember – Kerajaan Negeri menerima sebanyak 2,245 aduan rakyat menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,704 aduan berjaya diselesaikan manakala 541 lagi sedang dalam proses tindakan.
Katanya, angka penyelesaian masalah yang tinggi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan suara rakyat terus diberi perhatian.
“Usaha ini bukan sekadar untuk sementara, sebaliknya setiap aduan dan harapan rakyat akan terus disantuni kerana denyut nadi rakyat menjadi panduan setiap langkah pentadbiran.
“Prinsip WRUR adalah memastikan kepimpinan negeri sentiasa mendengar, memahami dan bertindak bagi memenuhi keperluan rakyat secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 bertemakan ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat: Cerminan Kepimpinan Legislatif’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri.
Ab Rauf berkata kejayaan program WRUR membuktikan bahawa suara rakyat adalah suara keramat yang menjadi panduan dalam setiap langkah pentadbiran negeri.
“Setiap aduan dan harapan rakyat akan terus disantuni kerana program ini lahir dari satu prinsip teguh bahawa denyut nadi rakyat adalah kompas yang memacu setiap tindakan wakil rakyat dan kepimpinan
negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


