2 JIWA 1 HATI MEDAN PENYATUAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SUNGAI UDANG 26 Julai – Pertandingan Menembak Pistol sempena Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri dan pasukan beruniform.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pertandingan yang memasuki siri ketiga penganjuran itu berjaya menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai agensi termasuk anggota pasukan beruniform.

Menurut beliau, penganjuran aktiviti seperti itu bukan sahaja mengetengahkan semangat kesukanan, malah menjadi medan membina hubungan kerja, persefahaman serta kerjasama antara semua pihak.

“Pertandingan kali ini membabitkan lapan kumpulan dengan 32 peserta terdiri daripada pelbagai agensi termasuk anggota dari Kem Terendak, Kem Sungai Udang serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

“Menerusi program sebegini, kita dapat mengeratkan hubungan kerja, semangat berpasukan dan kerjasama yang menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pertandingan Menembak Pistol sempena Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 yang berlangsung di Lapang Sasar Para Integrated All Weather (PIAW), Kem Terendak, di sini, pada Sabtu.

Pertandingan itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut bersama Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Sani S Omar; barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, penganjuran kejohanan tahun ini lebih meriah apabila mencatatkan peningkatan penyertaan daripada pelbagai agensi termasuk anggota badan beruniform.

Katanya, penglibatan pelbagai pihak membuktikan semangat kebersamaan yang ingin diterapkan menerusi kejohanan berkenaan.

“Sepanjang kejohanan ini berlangsung, kita akan berkampung di sini dan bersama-sama menjayakannya. Kepelbagaian peserta yang terlibat mencerminkan semangat kebersamaan serta hubungan erat yang ingin kita pupuk menerusi penganjuran kejohanan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post TYT HAYATI MAGIS CINTA QAIS DAN LAILA DI PANGGUNG BANGSAWAN