2 kilang, pasar raya dan hospital cetus kluster baharu di Melaka

0
2583

AYER KEROH 5 Ogos – Sebanyak empat kluster baharu direkodkan di Melaka pada hari ini, sekali gus menyaksikan kes jangkitan harian COVID-19 terus melonjak.

Mengikut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiga daripada kluster baharu itu membabitkan tempat kerja iaitu dua kilang di daerah Melaka Tengah dan sebuah pasar raya di Jasin.

Dua kluster berkaitan kilang itu dikenali sebagai Kluster Industri Plot Lapan dan Kluster Industri Lot 26, sementara Kluster Jalan Debunga Satu pula membabitkan pasar raya.

“Kluster Industri Plot Lapan dan Kluster Industri Lot 26 membabitkan pekerja kilang di Batu Berendam yang mula dikesan hasil saringan bergejala membabitkan wanita berusia 21 dan 46 tahun.

“Sehingga kini, sebanyak 607 saringan telah dijalankan dan 31 disahkan positif COVID-19 membabitkan Kluster Industri Plot Lapan, manakala Kluster Industri Lot 26 pula membabitkan 87 saringan dan 36 disahkan positif.

“Bagi Kluster Jalan Debunga Satu membabitkan pasar raya di Merlimau, Jasin pula, seramai 50 pekerja telah disaring dan setakat ini 24 dikesan positif,” tulis kenyataan itu.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu direkodkan di Melaka ialah kluster membabitkan golongan berisiko tinggi yang dinamakan sebagai Kluster Bukit Palah 2.

Kluster itu membabitkan kakitangan dan pesakit di sebuah pusat perubatan di Bukit Palah yang mana kes indeksnya, wanita berusia 64 tahun yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra pembedahan.

Difahamkan, ia kluster berulang kali kedua melibatkan pusat kesihatan tersebut, selepas kluster kali pertama direkodkan sekitar Januari lalu.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes kematian di Melaka membabitkan warganegara Malaysia dengan enam kematian direkodkan di hospital, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Sehingga kini, terdapat 5,697 kes masih dirawat di negeri ini dengan 90 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 27 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.