
20,000 PENGUNJUNG SERBU BAZAR IKONIK BANDA HILIR
Banda Hilir 19 Februari – Bazar Ikonik Banda Hilir mencatat kehadiran 20,000 pengunjung sepanjang tujuh hari pembukaannya sempena cuti panjang yang menggabungkan cuti Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, jumlah pengunjung dijangka terus meningkat terutama pada hujung minggu berikutan kawasan itu menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar.
Menurutnya, sambutan tahun ini lebih positif berbanding tahun lalu dengan peningkatan kehadiran pengunjung serta hasil jualan peniaga.
“Orang ramai sudah mula tahu kawasan ini sebagai lokasi Bazar Ikonik, selain faktor ekonomi yang lebih baik turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan ‘Walkabout’ di bazar berkenaan, di sini, semalam.
Shadan turut memaklumkan penganjuran bazar itu berkemungkinan besar akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang di lokasi sama.
“Justeru, peniaga dinasihatkan agar menjaga kebersihan dan meletakkan harga yang berpatutan memandangkan Banda Hilir merupakan kawasan tumpuan pelancong,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

