‘2022 tutup buku’: Imbasan November 2022

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

8 November 2022:-

MPHTJ perbandaran paling mampan di Malaysia

PUTRAJAYA – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bandar Mampan Kategori Perbandaran bagi Tahun 2021 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia tahun 2022 di Putrajaya di sini, hari ini.
MPHTJ meraih tempat ketiga di antara 127 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Malaysia yang menyertai anugerah tersebut, sekali gus diiktiraf sebagai PBT Perbandaran Paling Mampan di Malaysia.

13 November 2022

Bayi maut ditimpa pokok rhu Pantai Puteri

PANTAI KUNDOR – Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang ditimpa pokok rhu di Pantai Puteri, lewat petang 12 November, meninggal dunia.
Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan meninggal dunia pada jam 1.30 pagi di Hospital Melaka selepas lebih enam jam bertarung nyawa.

14 November 2022

Perkhidmatan ambulans percuma di semua 28 DUN Melaka – KM

REMBIA – Perkhidmatan ambulans percuma di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), bukti Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan aspek kebajikan serta kesihatan rakyat khusus golongan kurang berkemampuan B40.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu adalah antara 142 inisiatif merangkumi tiga fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan kecekapan urus tadbir yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 yang lalu.

15 November 2022

Melaka FC ganti Melaka United, MUSA ditukar kepada MAFA

AYER KEROH – Melaka FC disahkan akan menjadi pasukan yang bersaing mewakili Negeri Melaka pada saingan Liga M3, musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, Melaka FC yang sedang dipersiapkan itu bakal mewarnai kancah Liga M3 dengan semangat baharu dalam misi kembali ke Liga Super pada 2024, selain layak beraksi di Piala FA musim depan.

18 November 2022

Melaka antara negeri terkehadapan terima liputan 5G

PAYA RUMPUT – Melaka menjadi antara negeri terkehadapan dalam pelaksanaan dan liputan perkhidmatan 5G di Malaysia.
Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, walaupun sasaran awal perkhidmatan itu hanya akan tersedia pada 2023, namun Kerajaan Negeri menerusi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) telah mengorak langkah lebih awal bermula tahun ini.
Rais berkata hasilnya, setakat November sebanyak 59 tapak penyedia perkhidmatan 5G telah dibina dan daripada jumlah itu, 32 kawasan sudah menerima liputan 5G.

20 November 2022

PRU15: Tiada parti dapat majoriti mudah kerusi Parlimen

PUTRAJAYA – Tiada mana-mana parti memperoleh 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding atau majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi 20 November lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.
Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.
Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).

24 November 2022

Anwar angkat sumpah Perdana Menteri Ke-10

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5.06 petang.

24 November 2022

Melaka kekal dengan Kerajaan Negeri sedia ada – KM

BUKIT BARU – Melaka akan kekal dengan Kerajaan Negeri sedia ada memandangkan keputusan itu telah dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN), November 2021 lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun akan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas ia dibentuk susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1267
Kongsi :
Previous post Pesta Bunga Melaka erat hubungan kekeluargaan
Next post Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal ambang tahun baharu di ibu negara
Ubah saiz-+=