
2026, MPHTJ FOKUS PERKHIDMATAN KELAS PERTAMA
BANDA HILIR 22 Disember – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di bawah kawasan pentadbiran mereka.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, antara tumpuan yang akan diberikan adalah terhadap aspek menaik taraf infrastruktur, di mana fokus utama adalah membabitkan kawasan-kawasan taman perumahan.
Pada masa sama, ujar beliau, aduan-aduan rakyat juga akan disantuni sebaiknya supaya perkhidmatan lebih baik dapat diterjemahkan sepanjang tahun depan.
“Antara naik taraf yang akan dilakukan adalah dalam sudut infrastruktur seperti pencahayaan dan kemudahan awam di taman perumahan memandangkan kita telah menerima peruntukan daripada Jabatan Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Pada masa sama, kita turut memberi tumpuan kepada aduan rakyat, antaranya isu membabitkan isu cantasan pokok, di mana kita akan pastikan segala aduan diterima akan dilaksanakan sebaiknya demi keselamatan warga Hang Tuah Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi MPHTJ 2025 yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, MPHTJ meraikan seramai 80 penerima meliputi 28 kategori sebagai tanda terima kasih, antaranya, agensi di sektor kerajaan, swasta, ahli majlis, kakitangan, sekolah, komuniti, pemimpin masyarakat dan pengamal media dalam dalam menjayakan program mahupun inisiatif tempatan.
Turut menerima penghargaan pada majlis itu adalah Melaka Hari Ini dan Melaka TV yang menerima Anugerah Jalinan Media Terbaik MPHTJ sepanjang 2025 di atas laporan berita yang disiarkan secara berterusan demi manfaat warga Hang Tuah Jaya.
Menurut Sapiah, majlis itu juga bukan sekadar satu inisiatif biasa, tetapi ia juga komitmen di peringkat pihak berkuasa tempatan untuk menyantuni keperluan dan denyut nadi setiap pihak daripada pelbagai latar belakang.
“Atas dasar itu, MPHTJ sentiasa menitikberatkan aspirasi semua aspek, sama ada dari segi pengurusan kewangan, perkhidmatan, kebersihan, pembayar cukai,
pembayar premis, jalinan usahasama, aktifnya persatuan dan pertubuhan.
“Setiap aspek yang diambil kira ini, mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk membolehkan kami, sebagai pihak berkuasa tempatan menilai dan memilih untuk diiktiraf,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh 15 tahun tertubuhnya MPHTJ dengan kapasiti jumlah penduduk hampir 200,000 orang, pelbagai cabaran telah ditempuhi, sama ada dalam aspek tuntutan perkhidmatan awam, keperluan masyarakat yang kian kompleks, mahupun perubahan persekitaran.
Namun begitu, ujar beliau, dengan kesepaduan, komitmen dan profesionalisme, cabaran tersebut berjaya diharungi dengan jayanya sehingga meletakkan MPHTJ di satu tahap lebih tinggi pada masa kini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

