
21 BERANAK CIPTA MEMORI HARI KEBANGSAAN DI ZOO MELAKA
AYER KEROH 1 September – Peluang menikmati kemasukan percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan dimanfaatkan sebaiknya oleh 21 beranak yang memilih Zoo Melaka sebagai destinasi pertama untuk meluangkan masa bersama pada cuti umum tersebut.
Menurut Nasibah Ummu Amara Abdullah, 40, berkata, dia bersama suami dan 19 orang anaknya memilih Zoo Melaka sebagai lokasi pertama kemasukan percuma bukan sekadar mahu melihat gelagat haiwan.
Katanya, ia juga bertujuan membawa anak-anak menikmati pengalaman baharu sambil mengisi cuti umum dalam suasana santai dan meriah.
Katanya, dia bersama keluarga tiba seawal jam 7 pagi dan beratur untuk menikmati inisiatif masuk percuma ke Zoo Melaka itu.
“Boleh dikatakan hampir semua anak-anak belum pernah masuk ke Zoo Melaka meskipun kami tinggal di Jasin, namun dengan adanya kemasukan percuma seperti ini dapatlah kami yang keluarga ramai ini merasa.
“Alhamdulillah anak-anak juga gembira apabila dapat menerokai kawasan Zoo Melaka dan melihat sendiri pelbagai spesies haiwan yang selama ini mungkin hanya dikenali menerusi buku, televisyen atau peranti digital.
“Sempat juga kita merakam gambar keluarga sebagai kenangan dan lebih manis lagi anak-anak pula kelihatan teruja apabila berpeluang melihat haiwan secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, suri rumah itu turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri memberi ruang kepada dia dan keluarga menikmati lokasi pelancongan negeri tanpa memikirkan kos tiket seterusnya menjadikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna.
“Terima kasih Kerajaan Negeri, kemasukan percuma ini adalah satu bentuk penghargaan kepada rakyat dan harapan saya moga selepas ini akan ada lagi inisiatif menggembirakan rakyat seperti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

