2,200 asnaf mualaf Melaka terima bantuan Ramadan, Syawal

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KESIDANG 27 Mac – Seramai 2,200 asnaf mualaf di Negeri Melaka menerima bantuan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, ia membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM940,000.

Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun lalu iaitu berjumlah RM712,500.

“Bantuan ini merupakan salah satu bentuk bantuan zakat yang disediakan khusus kepada penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf pada setiap tahun yang mana ia merupakan duit zakat yang diagihkan MAIM.

“Daripada 2,200 penerima bantuan dalam kalangan asnaf mualaf ini, 2,000 daripadanya ialah asnaf mualaf dewasa dan baki 200 lagi asnaf mualaf kanak-kanak.

“Asnaf mualaf dewasa akan menerima bantuan sebanyak RM450 setiap seorang, manakala asnaf mualaf kanak-kanak sebanyak RM200 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pengagihan Bantuan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah) Kepada Asnaf Mualaf MAIM di Kompleks Darul Huda Balai Islam di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Nasir Wahab.

Dalam pada itu, Md Rawi memaklumkan jumlah kutipan zakat yang dicapai pada tahun lalu ialah berjumlah RM118.3 juta yang mana ia meningkat sebanyak RM11.5 juta (9.72 peratus) berbanding tahun sebelumnya, sekali gus dapat menyumbang bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Semua bantuan disampaikan ini bagi meringankan beban rakyat dalam melakukan persiapan meraikan bulan Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2305
Kongsi :
Previous post Lelaki warga India dituduh bunuh pesara, seorang lagi suspek masih diburu
Next post Ramadan sunyi tanpa Aliah Qistina
Ubah saiz-+=