
28 TAHUN BERSARA, JASA JAHARA DIHARGAI SK PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 16 Mei – Suasana sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput hari ini bertukar sebak apabila bekas pendidik, Datin Wira Jahara Abu Hassan, 72, diumumkan sebagai Tokoh Guru Alumni SK Paya Rumput 2025.
Anugerah itu didedikasikan kepada Jahara bagi mengenang jasa dan khidmat baktinya selama hampir tiga dekad dalam dunia pendidikan.
Jahara yang pernah berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di SK Paya Rumput sebelum bersara pada tahun 1997, tidak dapat menahan air mata apabila menerima jambangan bunga daripada anak keempatnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
“Saya benar-benar terharu, tidak sangka selepas 28 tahun meninggalkan sekolah ini, saya masih diingati dan dihargai.
“Alhamdulillah ini rezeki saya, terima kasih kepada pihak sekolah yang tidak pernah melupakan jasa dan bakti saya kepada sekolah ini dahulu.
“Ini penghargaan kepada saya dan simbolik pengiktirafan terhadap jasa warga pendidik terdahulu yang membina asas kejayaan sekolah,” katanya.
Terdahulu Jahara menerima anugerah berkenaan disampaikan sendiri oleh anaknya Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri pada Majlis Sambutan Hari Guru SK Paya Rumput di sekolah tersebut di sini, hari ini.
Jahara memulakan kerjaya pendidikannya pada tahun 1976 di Sekolah Kebangsaan Keru, Tampin, Negeri Sembilan.
Beliau ketika itu masih bujang dan baru sahaja menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM), kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka.
Di SK Paya Rumput, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai guru muzik dan Bahasa Inggeris yang berwibawa serta disayangi, sebelum dilantik sebagai Guru Penolong Kanan HEM.
Sepanjang kerjaya sebagai pendidik, beliau telah mencurahkan bakti mendidik ribuan anak bangsa dan turut menjadi inspirasi kepada keluarganya, termasuk suami beliau Datuk Wira Yasin Sarif, 72, serta ketujuh-tujuh anak mereka.
Majlis penghargaan itu turut diserikan dengan persembahan murid dan guru, serta sesi memori bersama beberapa bekas rakan setugas yang pernah bersama beliau di SK Paya Rumput.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.