Sorting by

×

TIADA MYKIOSK TERBIAR DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PAYA RUMPUT 16 Mei – Melaka tidak berdepan isu MyKiosk terbiar seperti yang dibangkitkan di beberapa negeri lain, sebaliknya hampir 90 peratus kiosk yang disediakan telah digunakan oleh para penjaja.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sehingga kini hanya sekitar 10 ke 15 peratus belum diisi atas faktor teknikal atau menunggu peniaga memulakan operasi.

“Konsep MyKiosk yang menepati syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja membantu penjaja kecil berniaga secara sah, tetapi juga memudahkan kawalan dari segi kebersihan dan pengurusan.

“Kita lihat di Dataran Stadium Hang Jebat sahaja, sambutannya sangat baik apabila lebih 70 peniaga berminat dan kita kini sedang membuat saringan memandangkan MyKiosk yang ada cuma 30 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini, hari ini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang sentiasa memperkenal inisiatif baharu untuk golongan penjaja.

“Permintaan itu sentiasa ada. Saya mungkin tidak memahami isu-isu di tempat yang lain kenapa MyKiosk itu tidak berjaya.

“Cuma mungkin ada sedikit perkara yang perlu atau boleh ditambah baik mengenai keadaan MyKiosk itu sendiri.

“Tetapi di Melaka ini saya tidak dengar ada laporan MyKiosk mereput tanpa ada peniaga. Setakat ini kita masih dalam keadaan terkawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post 28 TAHUN BERSARA, JASA JAHARA DIHARGAI SK PAYA RUMPUT
Next post KANAK-KANAK LELAKI MAUT DALAM KEBAKARAN DI PPR KRUBONG