MELAKA PERUNTUK RM1.2 JUTA PERKASA PROGRAM PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 29 November – Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM1.2 juta kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka sejak 2023 bagi mempergiat pelaksanaan program perpaduan di peringkat akar umbi.

Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, peruntukan sepanjang tempoh empat tahun itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Melaka.

“Pelbagai program dilaksanakan menerusi Inisiatif Komuniti Perpaduan Melaka bagi menyampaikan mesej perpaduan dengan lebih berkesan kepada golongan sasaran.

“Usaha memperkukuh perpaduan perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Generasi Cilik Perpaduan: Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, pada Khamis.

WhatsApp Image 2026 11 26 at 4.50.45 PM (1)
FAIRUL Nizam bergambar bersama Intan Suhana (kiri) dan Kristina (kanan) pada majlis berkenaan. Foto Facebook Fairul Nizam Roslan Along

Hadir sama Pengarah JPNIN Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff dan Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Melaka Kristina Sipin.

Pada majlis itu seramai 429 orang murid tabika dan 51 murid taska telah diberikan penghargaan sebagai graduan cilik atas kejayaan yang dicapai.

Mengulas mengenai program, Fairul Nizam berkata detik bermakna itu bukan sekadar meraikan pencapaian anak-anak, malah simbol kasih sayang, pengorbanan dan komitmen bersama dalam mencorak masa depan mereka.

“Semoga anak-anak diraikan akan terus berjaya dalam menuntut ilmu dan menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post SUMBANGAN KERUSI RODA TOK MAN, LEGAKAN KESUKARAN PUAN ZALEHA