
MPHTJ KELUAR 140 NOTIS, 13 KOMPAUN KE ATAS BINAAN HARAM
AYER KEROH 29 November – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengeluarkan 140 notis dan 13 kompaun terhadap struktur haram serta binaan yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan memastikan pembangunan di kawasan pentadbirannya dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi peruntukan undang-undang.
Katanya, sepanjang tahun ini, Jabatan Kawalan Bangunan MPHTJ turut melaksanakan rondaan dan pemeriksaan secara berkala dengan sasaran 15 rondaan setiap bulan.
“Sebanyak 189 lokasi di seluruh kawasan pentadbiran MPHTJ turut dipantau bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran peraturan, termasuk pembinaan tanpa kelulusan serta struktur yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan turut merangkumi arahan pembetulan dan perobohan terhadap binaan yang melanggar syarat mengikut peruntukan undang-undang.
“Pemantauan dan penguatkuasaan perlu terus diperkasakan bagi memastikan pemilik bangunan mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984), selain mendapatkan kelulusan sebelum melaksanakan sebarang kerja pembinaan atau pengubahsuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan MPHTJ bagi November 2026 di Kompleks Melaka Mall, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sapiah turut mengingatkan kakitangannya supaya pengurusan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) diberikan perhatian serius bagi memastikan setiap aduan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil dengan kadar segera.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan pembinaan juga perlu diteruskan bagi mewujudkan persekitaran pembangunan yang lebih teratur dan selamat.
“Saya berharap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, konsisten dan profesional tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

