
SEMUA SEKOLAH DI MELAKA DIMINTA PERKUKUH SOP MAKANAN, PEKA ADUAN PELAJAR
RIM 28 November – Pengurusan semua sekolah di negeri ini diminta memperkemas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penyediaan makanan bagi menangani situasi luar jangka selain memastikan setiap aduan pelajar diberikan perhatian dan maklum balas segera.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, penambahbaikan itu penting bagi memastikan sebarang isu yang timbul dapat ditangani dengan pantas dan berkesan sebelum menjadi lebih serius.
Menurutnya, insiden hidangan ayam mentah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada pengurusan MRSM, malah semua pembekal makanan khususnya yang terlibat dalam sektor pendidikan di seluruh Melaka.
“Di peringkat negeri, kita menasihatkan supaya SOP penyediaan makanan dan kaedah menangani situasi luar jangka ditambah baik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Selain itu, saya juga menasihatkan semua institusi pendidikan di negeri ini supaya memberikan keutamaan kepada setiap aduan yang diterima daripada pelajar dan memastikan maklum balas diberikan dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke MRSM Tun Ghafar Baba Jasin, di sini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Pegawai Kesihatan Daerah Jasin, Dr. Mohamad Syafiq Sidqi Mohamad Saidi; wakil pengurusan MRSM Tun Ghafar Baba; pihak pembekal serta pegawai berkaitan.
Mohd Ridhwan berkata, susulan insiden ayam mentah tersebut, teguran telah diberikan kepada pihak pembekal dan wakil MRSM yang berada di lokasi kejadian supaya lebih bersedia membuat keputusan serta mengambil tindakan sewajarnya apabila berdepan tekanan atau situasi di luar jangkaan.
“Saya berharap segala tindakan yang telah dilakukan ini menjadi pedoman dan pengajaran kepada pihak pembekal serta pentadbir MRSM dalam menangani situasi luar jangka agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik dan tidak berlarutan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan keyakinan bahawa premis penyediaan makanan di institusi pendidikan lain di negeri ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.
Jelasnya, Kerajaan Negeri setakat ini tidak bercadang melaksanakan pemeriksaan mengejut, namun, pemeriksaan serta-merta akan dilaksanakan sekiranya pihaknya menerima aduan berkaitan aspek keselamatan dan kebersihan makanan di institusi pendidikan seluruh negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

