
INDUSTRI BECA MELAKA PERLU LEBIH TERATUR, PENGAYUH TANPA LESEN DIMINTA PATUH SYARAT
DUYONG 28 November – Pengayuh beca yang masih beroperasi tanpa lesen sah sekitar kawasan tumpuan pelancong di Melaka diminta segera tampil memohon lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan perkhidmatan itu dikendalikan secara lebih teratur.
Gesaan itu dibuat susulan dakwaan terdapat kira-kira 20 pengayuh beca tanpa lesen kini beroperasi sekitar Banda Hilir, sekali gus menimbulkan isu persaingan tidak adil dalam kalangan pengusaha yang mematuhi peraturan ditetapkan.
Pengerusi Persatuan Abang Beca Melaka, Azman Abdullah berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkat bagi memastikan hanya pengayuh yang memiliki lesen sah dibenarkan menawarkan perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya, kewujudan pengayuh tanpa lesen bukan sahaja menimbulkan ketidakadilan kepada pengusaha yang membayar lesen, malah boleh menjejaskan usaha menyusun dan mengawal selia industri beca di negeri ini.
“Boleh dikatakan mereka yang tidak berlesen semakin lama semakin ramai. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kami membayar lesen tetapi mereka sebaliknya.
“Untuk itu, saya meminta pihak majlis iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil tindakan sewajarnya supaya sistem perkhidmatan beca di Melaka dapat beroperasi dengan lebih teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengayuh Beca Negeri Melaka 2026 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, di sini, pada Selasa.
Majlis berkenaan disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad dan Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Dalam pada itu, Azman berkata, setiap pengayuh beca juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menjaga penampilan, tatasusila serta tutur kata ketika berurusan dengan pelancong memandangkan mereka merupakan antara duta kecil yang membawa imej negeri Melaka.
Beliau turut menyambut baik inisiatif penganjuran taklimat berkenaan oleh MBMB bersama Kerajaan Negeri kerana menyediakan platform kepada pengayuh beca untuk meningkatkan pengetahuan dan menambah baik mutu perkhidmatan.
“Sebagai pengayuh beca, saya menyambut baik inisiatif yang diadakan MBMB bersama Kerajaan Negeri kerana menyediakan platform kepada kami dalam menambah baik perkhidmatan.
“Untuk itu, setiap pengayuh beca perlu memohon lesen supaya kita sama-sama dapat menerima bimbingan sewajarnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

