
HUBUNGAN ALUMNI, UNIMEL TIDAK TERHENTI SELEPAS KONVOKESYEN – TUN DR. MOHD ALI
AYER KEROH 28 November – Graduan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) disaran agar terus menyumbang kepada pembangunan universiti itu meskipun sudah menamatkan pengajian.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, hubungan seseorang graduan dengan universiti tidak terhenti selepas melangkah keluar dari dewan konvokesyen, sebaliknya memasuki fasa baharu sebagai alumni.
Menurutnya, setiap graduan mempunyai peranan untuk membantu memperkukuh institusi berkenaan melalui sumbangan mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.
“Sumbangan tidak semestinya bermula dengan wang, masa dan idea, bimbingan serta peluang juga merupakan sumbangan yang amat berharga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-28 bagi sidang satu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh merangkap PRO Canselor UNIMEL; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly dan kenamaan lain.
Tun Dr. Mohd Ali yang juga Canselor UNIMEL turut berharap alumni UNIMEL dapat membawa nama universiti itu ke peringkat antarabangsa, selain berkongsi pengalaman diperoleh untuk membantu pembangunan universiti.
“Bawalah UNIMEL ke pentas dunia, dan bawalah kembali pengalaman dunia untuk membangunkan UNIMEL. Itulah semangat ‘Bersama UNIMEL, Mencorak Dunia’.
“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan universiti, barisan pengurusan, pensyarah dan seluruh warga UNIMEL atas komitmen dalam memacu kecemerlangan institusi ini serta memperkukuh sumbangannya kepada masyarakat, negeri dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

