MELAKA MAHU BELIA KEMBALI DEKATI SUKAN TRADISIONAL – NADARAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERI NEGERI 28 November – Kerajaan Negeri komited menghidupkan semula warisan permainan tradisional seperti congkak, gasing dan konda kondi menerusi penganjuran lebih banyak program bagi memastikan khazanah budaya itu terus dikenali dan diminati generasi muda.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, S. Nadarajah berkata, usaha memelihara permainan tradisional akan dilaksanakan seiring perkembangan sukan moden termasuk sukan elektronik (e-sport) dan sukan padang bagi mewujudkan keseimbangan dalam landskap sukan negeri.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek sebahagian besarnya adalah kawasan kampung dan saya masih dapat melihat masyarakat di sana serta di kampung-kampung lain di Melaka bermain permainan tradisional.

“Memang saya akan menganjurkan program berkaitan permainan tradisional seperti congkak dan lain-lain lagi kerana kita perlu mewujudkan keseimbangan antara e-sport, sukan padang seperti bola sepak serta warisan tradisional yang masih wujud di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nadarajah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, perubahan gaya hidup susulan pembangunan kawasan bandar dan kemajuan teknologi antara cabaran dalam menggalakkan semula penglibatan golongan belia dalam aktiviti kesukanan.

WhatsApp Image 2026 11 25 at 5.54.28 PM
NADARAJAH ketika ditemui pemberita di Seri Negeri.

Katanya, berbanding era 1980-an dan 1990-an ketika aktiviti sukan menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, penglibatan anak muda hari ini dilihat semakin berkurangan apabila ramai lebih gemar menghabiskan masa dengan peranti digital.

“Berbanding era 1980-an dan 1990-an yang mana aktiviti sukan sangat popular, penglibatan anak muda kini semakin berkurangan kerana ramai lebih gemar meluangkan masa dengan telefon pintar atau iPad.

“Mereka rasa lebih mudah duduk di rumah dalam bilik berhawa dingin tanpa perlu berpeluh, justeru menjadi cabaran utama saya untuk menggalakkan semula belia Melaka melibatkan diri dalam aktiviti kesukanan,” katanya.

Bagi menjayakan usaha itu, Nadarajah berkata, pihaknya turut bercadang mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan berasaskan tradisi dan kebudayaan bagi menghimpunkan mereka untuk merancang penganjuran program secara bersama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan program baharu akan diperincikan selepas pembentangan pelan sasaran 100 hari bagi portfolio berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita tidak mahu melakukan sesuatu secara tergesa-gesa, sebaliknya bergerak secara teratur, menganalisis setiap keperluan dan melaksanakannya satu persatu agar setiap program benar-benar memberi hasil akhir yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post MPHTJ BUKTIKAN INOVASI DIGITAL MAMPU JANA PENDAPATAN