PENDUDUK LEGA EXCO SEGERA TURUN PADANG LERAI MASALAH INTERNET ‘SLOW’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MERLIMAU 28 November – Masalah gangguan internet dan liputan telekomunikasi membelenggu penduduk Bandar Botani Parkland, Jasin Bestari sejak awal tahun 2026 bakal dinoktahkan menerusi pelan tindakan segera Kerajaan Negeri.

Tindakan segera itu adalah susulan lawatan turun padang Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama agensi berkaitan yang menetapkan garis masa (timeline) jelas bagi kerja-kerja menaik taraf capaian digital di kawasan berkenaan.

Bagi Mohamad Shahrul Nizam Mohd Khairi, 35, lawatan kerja itu amat dinanti-nantikan memandangkan sebelum ini penduduk berdepan beberapa siri penangguhan berhubung pemasangan talian tetap sejak berpindah masuk awal tahun ini.

Menurutnya, ketiadaan akses internet yang stabil sebelum ini memberi cabaran besar kepada penduduk, terutamanya golongan bekerja dari rumah (BDR), peniaga dalam talian serta pelajar sekolah yang terpaksa keluar dari kawasan taman semata-mata untuk mendapatkan liputan.

“Apabila beliau (Dr. Muhamad Akmal) sendiri datang berjumpa dan mendengar keluhan penduduk, kita nampak sudah ada satu garis masa yang tetap dan meyakinkan.

“Beliau telah memberi jaminan pemasangan gentian optik (fiber deployment) akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan, manakala pembinaan pencawang telekomunikasi pula dijangka siap pada awal tahun hadapan sekitar Februari atau Mac.

“Kami amat menghargai keprihatinan ini dan berharap semua pihak bertanggungjawab dapat menepati tempoh yang ditetapkan demi keselesaan bersama,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas lawatan tersebut di Bandar Botani Parkland di sini, pada Selasa.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Haikal Abu Bakar, 35, menyifatkan turun padang pemimpin negeri bersama agensi berkaitan telekomunikasi sebagai langkah proaktif yang amat memudahkan urusan rakyat.

Katanya, penduduk di Presint 3 sebelum ini terpaksa berdepan kelajuan internet di bawah tahap minimum 10 Mbps serta gangguan talian telefon di dalam rumah sehingga menyukarkan komunikasi harian, termasuk ketika berlakunya situasi kecemasan.

“Sebelum ini, untuk menghantar fail bersaiz lebih dua megabait (MB) atau membuat panggilan telefon yang jelas, penduduk terpaksa berjalan keluar hingga ke bahagian hadapan berhampiran pondok pengawal.

“Namun, dengan keprihatinan Datuk Dr. Muhamad Akmal yang hadir sendiri melihat bebanan penduduk, ia membuktikan suara kami didengari tanpa perlu melalui birokrasi yang rumit.

“Saya yakin inisiatif pantas Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan ini akan mempercepatkan penyelesaian sekali gus memberikan keselesaan serta jaminan keselamatan lebih baik kepada seluruh komuniti Presint 3,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

192
Kongsi :
Previous post OMSMC HOSPITAL SWASTA PERTAMA MELAKA BAWA ANGIOGRAM SECARA ‘LIVE’