OMSMC HOSPITAL SWASTA PERTAMA MELAKA BAWA ANGIOGRAM SECARA ‘LIVE’

Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat

BANDA HILIR 28 November – Pengalaman menyaksikan prosedur angiogram secara langsung dari makmal kateterisasi (cath lab) menjadi antara tarikan utama Simposium Kardiovaskular 2026 anjuran Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC), sekali gus memberikan pendedahan klinikal lebih praktikal kepada doktor yang menyertainya.

Menerusi demonstrasi itu, peserta berpeluang mengikuti secara langsung setiap peringkat pelaksanaan prosedur angiogram, selain mendapatkan penerangan terperinci daripada pakar kardiologi.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Kardiologi OMSMC, Dr. Julian Tey Hock Chuan berkata, pembentangan kes secara langsung itu merupakan yang pertama dianjurkan oleh hospital swasta di Melaka.

Menurutnya, sesi berkenaan dikendalikan oleh Pakar Perubatan Dalaman dan Kardiologi OMSMC, Dr. Ahmad Maujad Ali di hospital, manakala beliau bertindak sebagai moderator di hotel.

“Melalui pembentangan secara langsung ini, doktor yang hadir dapat melihat langkah demi langkah bagaimana prosedur angiogram dilakukan serta memahami dengan lebih terperinci proses berkenaan.

“Simposium selama dua hari pada 21 dan 22 November turut menyediakan ruang pembelajaran klinikal, perkongsian ilmu dan kerjasama profesional membabitkan 100 doktor antara pakar-pakar dari bidang kardiologi, kardiotorasik, eletrofisiologi, intervensi radiologi, kardiotorasik anestesiologi dan pengamal perubatan am (GP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Simposium Kardiovaskular 2026 anjuran OMSMC di sebuah hotel, di sini, 21 November lalu.

Oriental
DR. JULIAN. Foto Dani Ahmad

Dr. Julian berkata, simposium yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada doktor di Melaka dan kawasan berhampiran termasuk selatan Negeri Sembilan serta utara Johor.

Menurutnya, program berkenaan menjadi platform perkongsian perkembangan terkini berkaitan penyakit kardiovaskular yang bukan sahaja melibatkan jantung, malah merangkumi gangguan saluran darah termasuk strok serta penyakit arteri periferal.

“Melalui perkongsian ilmu ini, kita berharap doktor di klinik dapat mengenal pasti tanda awal penyakit kardiovaskular dan membuat rujukan kepada pakar lebih awal sekiranya diperlukan.

“Maklumat berkaitan penyakit ini sentiasa berkembang dan doktor perlu mengikuti perkembangan serta panduan rawatan terkini supaya dapat memberikan penjagaan yang bersesuaian kepada pesakit,” katanya.

Mengulas peningkatan kes penyakit kardiovaskular dalam kalangan golongan muda, Julian berkata, masalah penuaan saluran darah yang lazimnya mula berlaku sekitar usia 40-an kini semakin dikesan pada peringkat usia lebih muda, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, antara faktor risiko yang menyumbang kepada keadaan itu termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, diabetes, tabiat merokok, kurang aktiviti fizikal, berat badan berlebihan serta faktor genetik.

Katanya, corak pemakanan tinggi lemak, kolesterol dan karbohidrat turut menyumbang kepada masalah berat badan serta meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit kardiovaskular.

“Walaupun penyakit ini secara umumnya lebih kerap dikaitkan dengan golongan berusia 60 tahun ke atas, mereka yang berusia 40-an juga perlu lebih peka, terutama jika mempunyai faktor risiko atau sejarah keluarga yang berkaitan.

“Kesedaran dan pendidikan perlu bermula pada usia muda. Saya mencadangkan saringan kesihatan dilakukan secara berkala bermula usia 30 tahun,” katanya.

Oriental
PESERTA menyaksikan prosedur angiogram secara langsung dari makmal kateterisasi (cath lab) yang dikendalikan oleh Pakar Perubatan Dalaman dan Kardiologi OMSMC, Dr. Ahmad Maujad Ali. Foto Dani Ahmad

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan tanda amaran seperti sakit dada, mudah penat, sesak nafas atau berpeluh selepas melakukan aktiviti fizikal kerana gejala berkenaan mungkin berkaitan masalah kardiovaskular dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Katanya, pemeriksaan kesihatan termasuk ujian darah boleh membantu mengesan faktor risiko seperti paras kolesterol dan gula dalam darah, selain menilai fungsi organ dalaman yang penting seperti buah pinggang dan hati.

Ujian lanjutan seperti X-ray, ultrasound, ekokardiogram dan ujian tekanan jantung (stress test) juga boleh dilakukan berdasarkan keperluan serta penilaian doktor.

“Pencegahan lebih baik daripada rawatan. Sebab itu, kesedaran mengenai penyakit kardiovaskular dan pemeriksaan berkala perlu diberi perhatian oleh semua peringkat umur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

159
Kongsi :
Previous post IMBASAN SEPANTAS 0.23 SAAT, PUTRA SPECIALIST HOSPITAL PACU ERA DIAGNOSTIK BAHARU