MAIM TAJA KAKITANGAN TUNAI UMRAH SEJAK 2011 TANDA PENGHARGAAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PENGKALAN BATU 27 November – Hampir 70 kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerima manfaat tajaan menunaikan ibadah umrah sejak program penghargaan itu diperkenalkan pada tahun 2011.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, program tersebut merupakan inisiatif menghargai kakitangan yang menunjukkan prestasi perkhidmatan cemerlang selain memberi peluang kepada mereka menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Katanya, pemilihan penerima tajaan dibuat berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan termasuk tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 10 tahun serta pencapaian cemerlang sepanjang berkhidmat.

“Antara kriteria yang kita tetapkan ialah kakitangan perlu mempunyai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 10 tahun selain menunjukkan pencapaian kerja yang cemerlang.

“Kita mempunyai jawatankuasa yang diberi kuasa untuk meneliti dan memilih calon yang benar-benar layak menerima penghargaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta program umrah MAIM yang membabitkan 20 peserta di Pusat Islam MAIM, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, seramai 10 kakitangan MAIM dipilih bagi menyertai program tahun 2026 dengan pembahagian lima lelaki dan lima wanita.

Katanya, bermula dengan hanya seorang penerima tajaan pada 2011, program itu berkembang secara berperingkat sehingga 20 peserta setiap tahun bermula 2023.

“Alhamdulillah, program ini kita teruskan setiap tahun dan bermula 2023, kita mampu menaja 20 peserta untuk menunaikan ibadah umrah namun bagaimanapun, kuota itu bergantung kepada keadaan kewangan semasa MAIM.

“Kesemua peserta akan berada di Tanah Suci selama 12 hari dengan kos perjalanan dan pelaksanaan ibadah ditanggung sepenuhnya oleh MAIM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post MELAKA TAMPUNG CARUMAN PERKESO, HARGAI PERANAN PENGAYUH BECA