
KUM LEPASI SASARAN, MELAKA MILIKI 1,477 TIANG FIBER GUNA SAMA
AYER KEROH 27 November – Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn Bhd berjaya melepasi sasaran pemasangan 1,000 tiang fiber guna sama yang ditetapkan Kerajaan Negeri bagi 2026 apabila sebanyak 1,477 tiang berjaya dipasang setakat November tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan berkata, pencapaian itu bersamaan 147.7 peratus daripada sasaran yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, pemasangan berkenaan turut memberi manfaat kepada 2,511 kediaman menerusi peluasan liputan rangkaian jalur lebar atau home pass.
“Kita berjaya mencapai pemasangan 1,477 tiang dan angka ini menunjukkan peningkatan berbanding sasaran yang ditetapkan Kerajaan Negeri.
“Keseluruhan pemasangan itu melibatkan 14 kawasan perumahan baharu termasuk Taman Perling di Alor Gajah yang menjadi lokasi perintis pelaksanaan inisiatif berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Ismael, penentuan lokasi pemasangan dibuat berdasarkan maklumat perancangan pembangunan perumahan baharu yang diperoleh daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Katanya, KUM bertanggungjawab menyediakan infrastruktur asas menerusi pemasangan tiang guna sama, manakala perkhidmatan jalur lebar akan disediakan oleh syarikat telekomunikasi.
“Pemasangan tiang guna sama ini tertumpu di kawasan perumahan baharu dan bukan hanya dibuat di bahagian belakang rumah, sebaliknya turut bermula dari laluan utama sebelum memasuki kawasan taman.
“Menariknya, satu tiang guna sama boleh dikongsi sehingga empat syarikat telekomunikasi sekali gus mengoptimumkan penggunaan infrastruktur dan mengurangkan keperluan pembinaan tiang berasingan.
“Setiap tiang turut dilengkapi kemudahan ‘open access’ bagi membolehkan syarikat telekomunikasi mengakses infrastruktur berkenaan untuk menyediakan sambungan rangkaian kepada pengguna,” katanya.
Mengulas perancangan tahun depan, Ismael berkata, KUM menyasarkan pemasangan 2,000 lagi tiang guna sama pada 2027, tertakluk kepada perancangan pembangunan perumahan yang dikenal pasti menerusi PLANMalaysia.
“Kami bukan sahaja komited mencapai sasaran ditetapkan, malah mahu memperluas pemasangan tiang fiber guna sama ke seluruh negeri,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KUM turut diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan perkhidmatan Traffic Management Plan (TMP) bagi menyeragamkan pengurusan keselamatan trafik sepanjang kerja-kerja utiliti dijalankan di lapangan.
Katanya, pelaksanaan TMP bertujuan menyelaraskan aspek keselamatan di tapak kerja, selain memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kerja penyelarasan serta pembinaan saluran utiliti bawah tanah (UDM).
“Selepas pelaksanaan nanti, mana-mana lokasi kerja UDM yang menggunakan kon tanpa tanda pengenalan KUM boleh dikenal pasti sebagai kerja yang tidak mempunyai permit.
“Inisiatif ini juga diharap dapat mengurangkan risiko kemalangan di kawasan kerja utiliti serta memastikan setiap aktiviti di lapangan dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

