AYAM MENTAH: MARA TENTUKAN NASIB PEMBEKAL MAKANAN MRSM

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

RIM 27 November – Sebarang tindakan lanjut terhadap pembekal makanan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba susulan insiden hidangan ayam mentah kepada pelajar institusi itu diserahkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pengurusan maktab berkenaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pihak MRSM telah mencadangkan serta melaksanakan beberapa tindakan dalaman terhadap pembekal terbabit sebagai langkah susulan insiden berkenaan.

Menurutnya, keputusan mengenai bentuk tindakan selanjutnya perlu ditentukan MARA dan pengurusan MRSM berdasarkan garis panduan serta syarat yang ditetapkan ketika pembekal dilantik.

“Apa juga tindakan yang akan dikenakan kepada pembekal ini kita serahkan kepada MARA dan MRSM kerana pembekal tertakluk kepada garis panduan ketika mereka dilantik.

“Secara keseluruhannya, saya melihat segala tindakan yang perlu telah pun diambil dan kita mahu bergerak ke hadapan supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke MRSM Tun Ghafar Baba Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama pada lawatan itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Pegawai Kesihatan Daerah Jasin Dr. Mohamad Syafiq Sidqi Mohamad Saidi; wakil pengurusan MRSM Tun Ghafar Baba; pihak pembekal serta pegawai berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ridhwan berkata, pemeriksaan oleh pegawai kesihatan mendapati pembekal telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan yang diarahkan selepas diberikan arahan kerja bertulis berkaitan aspek kebersihan.

Menurutnya, pemeriksaan semula dalam tempoh tiga hari mendapati tindakan pembetulan telah dilaksanakan dan pihak kesihatan berpuas hati dengan keadaan semasa, namun pemeriksaan susulan akan diteruskan dengan lebih kerap.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap premis penyediaan makanan bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipatuhi.

“Bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi, kita akan meminta PBT supaya kerap membuat pemantauan. Mereka juga diminta melaporkan apa juga dapatan dengan telus serta mengambil tindakan segera selepas setiap kali pemantauan dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku insiden hidangan ayam mentah di MRSM Tun Ghafar Baba Jasin selepas ia tular di media sosial.

Kekurangan bekalan itu menyebabkan pelajar yang datang lewat tidak mendapat hidangan mencukupi, sekali gus mencetuskan keadaan luar jangka apabila pihak pembekal dan tukang masak perlu menyediakan makanan tambahan dalam tempoh singkat sehingga menyebabkan ayam tidak dimasak sempurna.

Bagaimanapun, tiada kes keracunan makanan dilaporkan susulan insiden berkenaan selepas pihak MRSM mengambil tindakan menyediakan makanan alternatif kepada pelajar terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

169
Kongsi :
Previous post ‘MENJIWAI RAKYAT’, MESEJ UTAMA BAJET MELAKA 2027