
BEKALAN AYAM TIDAK CUKUP PUNCA INSIDEN DI MRSM TUN GHAFAR BABA
RIM 27 November – Kekurangan kira-kira 100 ketul ayam akibat kecuaian pembekal menyediakan bekalan tambahan untuk pelajar berpuasa dikenal pasti sebagai punca awal insiden ayam mentah dihidangkan kepada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, berdasarkan taklimat diterimanya, pelajar yang berpuasa sepatutnya menerima tambahan seketul ayam, namun perkara itu terlepas pandang oleh pihak pembekal sehingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi.
Menurutnya, kekurangan bekalan berkenaan menyebabkan pelajar yang datang lewat tidak mendapat hidangan mencukupi, sekali gus mencetuskan keadaan luar jangka apabila pihak pembekal, tukang masak dan warden terpaksa menyediakan makanan tambahan dalam tempoh singkat.
“Daripada taklimat yang diberikan, punca awal kejadian adalah jumlah ayam yang tidak mencukupi untuk pelajar berpuasa apabila pembekal terlupa menyediakan tambahan seketul ayam, sekali gus menyebabkan kekurangan kira-kira 100 ketul (ayam).
“Pelajar yang datang awal tiada masalah, tetapi apabila tiba giliran pelajar yang datang lewat, bekalan makanan tidak mencukupi sehingga berlaku tekanan kepada semua pihak termasuk pelajar, warden, tukang masak dan pembekal.
“Dalam keadaan luar jangka itu, ayam dimasak dalam tempoh yang tidak mencukupi sehingga akhirnya menyebabkan ia dihidangkan dalam keadaan tidak masak dan mentah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke MRSM Tun Ghafar Baba Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama pada lawatan itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Pegawai Kesihatan Daerah Jasin Dr. Mohamad Syafiq Sidqi Mohamad Saidi; wakil pengurusan MRSM Tun Ghafar Baba; pihak pembekal serta pegawai berkaitan.
Mengulas aspek keselamatan pelajar, Mohd Ridhwan bersyukur kerana tiada kes keracunan makanan dilaporkan susulan insiden berkenaan, hasil tindakan pantas pihak MRSM menyediakan makanan alternatif kepada pelajar terlibat.
Beliau berkata, aspek keselamatan makanan perlu diberikan perhatian serius, lebih-lebih lagi sebahagian pelajar di institusi berkenaan sedang menduduki peperiksaan penting dalam masa terdekat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

