SEGERAKAN PROJEK SUKAN TERTANGGUH, KOMPLEKS BEMBAN JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 27 November – Kerajaan Negeri akan meneliti dan menyusul status pelaksanaan beberapa projek kemudahan sukan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan yang sudah diluluskan, namun masih tertangguh, termasuk pembinaan Kompleks Sukan Bemban.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, S. Nadarajah berkata, hasil pertemuan dengan pegawai serta agensi berkaitan mendapati peruntukan dan kelulusan bagi projek berkenaan sebenarnya sudah tersedia.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan kebanyakan projek terbabit hanya dijadualkan untuk dimulakan tahun hadapan, justeru tindakan susulan akan dilakukan bagi mendapatkan kepastian mengenai jadual pelaksanaannya.

“Bagi projek besar yang tertangguh seperti Kompleks Sukan Bemban, saya perlu menyemak semula sumber peruntukannya dan mengapa ia masih belum dimulakan (sambungan pembinaan) memandangkan ia merupakan projek Persekutuan.

“Saya perlu mengejar pihak berkaitan supaya projek-projek yang sudah diluluskan ini dapat diselesaikan terlebih dahulu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, penyelarasan antara projek Persekutuan, pelaksanaan manifesto Kerajaan Negeri serta sasaran menerusi Bajet 2027 yang bakal dibentangkan Ketua Menteri penting bagi memastikan perancangan pembangunan kemudahan sukan dapat digerakkan secara teratur dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadarajah berkata, pihaknya turut menerima permintaan penduduk supaya sebuah kemudahan sukan berskala kecil atau dewan tertutup dibina di kawasan Gadek bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

Katanya, kemudahan itu tidak semestinya berskala besar seperti kompleks sukan utama, sebaliknya memadai dengan sebuah gelanggang tertutup yang boleh digunakan untuk aktiviti badminton, sepak takraw, bola keranjang dan bola tampar.

“Ia tidak perlu terlalu besar seperti kompleks sukan utama sedia ada, memadai sebuah gelanggang tertutup yang boleh dimanfaatkan penduduk untuk bermain badminton, sepak takraw, bola keranjang dan bola tampar,” katanya.

Mengulas perancangan jangka panjang, beliau berkata, cadangan membangunkan kompleks sukan bersepadu yang menghimpunkan pelbagai jenis permainan termasuk tenis dan badminton di satu lokasi turut akan dikaji dari segi kesesuaian pelaksanaannya.

“Selepas menyelesaikan projek-projek yang sedia ada, saya akan memerhati, menyelidik dan mengkaji kesesuaian mewujudkan kompleks bersepadu seumpama itu agar masyarakat khususnya golongan belia dapat berkumpul, bermain dan beriadah di satu tempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

360
Kongsi :
Previous post MPJ BERTINDAK, PEMILIK LEMBU BERKELIARAN KENA 7 KOMPAUN