JELAJAH MELAKA SAYANG RAKYAT SUBURKAN BUDAYA IMARAHKAN MASJID

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT PALAH 26 November – Masjid kariah terpilih di enam Parlimen di negeri ini akan menjadi lokasi penganjuran Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat sepanjang siri Jelajah Melaka Sayang Rakyat dijadualkan bermula pada Disember.

Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Rais Yasin berkata siri jelajah itu akan dimulakan di enam kawasan Parlimen sebelum diteruskan ke semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh juga sudah menyatakan komitmen beliau untuk turun padang bersama-sama rakyat bagi mengimarahkan program berkenaan.

“Pengisian program pula merangkumi aktiviti mengimarahkan masjid dengan solat hajat dan bacaan Yasin sebelum jamuan bersama penduduk.

“Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menyelaraskan program keagamaan, sementara itu jamuan rakyat pula ditanggung oleh Kerajaan Negeri tanpa perlu pihak masjid mengeluarkan sebarang kos.

“Bagi saya sendiri yang memegang portfolio ini adalah untuk memastikan keberadaan saya sampai ke semua 218 masjid kariah seluruh Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen Masjid dan Surau Negeri Melaka 2026 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Rais juga meminta kerjasama jawatankuasa setiap masjid yang dipilih membuka ruang buat beliau untuk menyantuni jemaah dan penduduk, sekali gus memperkukuh ukhuwah selain memperkasakan komuniti masjid.

“Wakil rakyat kawasan berkenaan juga perlu memanfaatkan program itu untuk menyantuni penduduk termasuk anak yatim dan ibu tunggal.

“Kita akan rangka lagi pelbagai program untuk memastikan ukhuwah sesama kita ini sentiasa intact dan juga mengimarahkan masjid itu menjadi tunggak utama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post MELAKA MOHON TAMBAH EMPAT TASKA PERPADUAN – EXCO
Next post SAMBUTAN NOVEMBER BULAN KELUARGA SASAR TARIK 1,000 PENGUNJUNG