EXCO MELAKA MULA GERAK KERJA TUNAIKAN JANJI KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

LENDU 26 November – Mesyuarat Exco pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menjadi titik pemula kepada Kerajaan Negeri untuk menggerakkan agenda pembangunan serta memastikan setiap amanah dan janji manifesto kepada rakyat dilaksanakan mengikut perancangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, mesyuarat yang berlangsung di Seri Negeri, semalam memberi tumpuan kepada hala tuju Kerajaan Negeri, khususnya dalam memastikan setiap perkara yang dijanjikan kepada rakyat dapat direalisasikan.

Menurut beliau, pelaksanaan manifesto akan dibuat secara berperingkat berdasarkan tempoh sasaran yang telah ditetapkan, iaitu dalam masa 100 hari, setahun dan lima tahun.

“Kita mahu janji yang diberikan kepada rakyat dilaksanakan mengikut tempoh 100 hari, setahun dan lima tahun yang sudah ditetapkan sebelum ini.

“Semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala janji manifesto terlaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menyantuni Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin (SEMESA), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta Pengetua SEMESA Badrul Hisham Abd Karim.

Ab Rauf berkata, komitmen seluruh barisan Exco amat penting bagi memastikan setiap perancangan Kerajaan Negeri bukan sekadar menjadi janji, sebaliknya diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Mesyuarat Exco pertama itu, sekali gus menandakan bermulanya fasa pelaksanaan agenda Kerajaan Negeri selepas PRN Melaka Ke-16, dengan setiap portfolio dipertanggungjawabkan untuk memastikan aspirasi dan harapan rakyat dapat direalisasikan.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Ketua Menteri mahu seluruh barisan pentadbiran bergerak seiring, bekerja lebih pantas, memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dan memastikan setiap dasar serta perancangan membawa manfaat sebenar kepada rakyat.

“Barisan Exco kali ini menyaksikan gabungan pengalaman dan tenaga baharu. Ada meneruskan khidmat dengan portfolio berbeza, manakala beberapa muka baharu turut diberikan kepercayaan untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Bagi saya, soal siapa yang lama atau baharu bukanlah ukuran utama. Lebih penting ialah kesungguhan, kesepaduan dan keupayaan kita bekerja sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat.

“Mandat yang diberikan rakyat bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, tetapi satu amanah besar yang wajib ditunaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

144
Kongsi :
Previous post ‘AH SEM’ PERJUANG KLINIK KESIHATAN BAHARU TEBONG
Next post PROGRAM NGO JANGAN SEKADAR ‘RAYA SEHARI’, MESTI BERI IMPAK – NADARAJAH