PROGRAM NGO JANGAN SEKADAR ‘RAYA SEHARI’, MESTI BERI IMPAK – NADARAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 26 November – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melaka diingatkan supaya tidak menganjurkan program sekadar memenuhi kuota tahunan, sebaliknya memastikan setiap aktiviti memberikan manfaat dan impak berpanjangan kepada masyarakat.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, S. Nadarajah berkata, setiap penganjuran program melibatkan penggunaan kewangan serta tenaga kerja yang besar, justeru pelaksanaannya perlu mempunyai matlamat dan hasil yang jelas.

Menurutnya, program tidak seharusnya berakhir sebaik sahaja sesuatu majlis selesai tanpa sebarang tindakan susulan atau manfaat berterusan kepada golongan sasaran.

“Saya sudah menegaskan kepada agensi di bawah saya bahawa program yang dilaksanakan tidak boleh jadi seperti ‘raya sehari’, iaitu selepas selesai majlis tiada lagi sebarang susulan.

“Jangan buat program sekadar janji ada kuota seperti tiga kali setahun tetapi tidak jelas siapa yang mendapat manfaatnya kerana kita tidak mahu berlaku pembaziran wang dan tenaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi meningkatkan keberkesanan gerak kerja NGO, Nadarajah merancang menghimpunkan pertubuhan berkenaan mengikut kategori masing-masing seperti sukan, tradisi dan agama bagi menggalakkan kerjasama dalam penganjuran program yang lebih berimpak.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara cabaran yang dikenal pasti di bawah portfolionya ialah kewujudan pertubuhan yang digantung oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) susulan masalah pengurusan dalaman.

Katanya, terdapat NGO yang berdepan konflik sesama ahli sehingga mendorong penubuhan persatuan baharu, sedangkan tanggungjawab asas pengurusan pertubuhan sedia ada masih tidak diselesaikan.

“Saya melihat di bawah ROS terdapat banyak NGO yang bergaduh sesama sendiri, kemudian keluar dan membuka NGO baharu sekadar untuk ada persatuan sahaja.

“Akhirnya penyata akaun tidak dihantar, minit mesyuarat juga tidak dikemukakan sehingga menyebabkan banyak pertubuhan digantung. Pengarah ROS sendiri sudah memaklumkan kepada saya bahawa pihak terbabit pasti akan datang berjumpa saya bagi memohon peluang meneruskan operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, isu tadbir urus berkenaan perlu diberi perhatian supaya NGO dapat berfungsi dengan lebih teratur dan menumpukan tenaga kepada matlamat penubuhan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post EXCO MELAKA MULA GERAK KERJA TUNAIKAN JANJI KEPADA RAKYAT