BELIA BUKAN SEKADAR SUKAN, NADARAJAH TUMPU KERJAYA DAN PERUMAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 25 November – Agenda pemerkasaan belia tidak seharusnya terhad kepada aktiviti kesukanan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keperluan kehidupan anak muda termasuk peluang kerjaya, pemilikan rumah dan persediaan membina keluarga.

Itu antara keutamaan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, S. Nadarajah dalam menerajui portfolio baharunya bagi memastikan golongan belia mendapat sokongan sewajarnya untuk membina masa depan.

Beliau berkata, perhatian terhadap pembangunan anak muda bukan perkara baharu baginya, malah sudah menjadi keutamaan sejak penglibatannya dalam sayap Pemuda MIC.

“Fokus utama saya adalah belia dan perkara ini bukan hanya selepas saya mengambil alih tugas sebagai Exco, malah sudah lama menjadi keutamaan sejak saya berada dalam Pemuda MIC lagi.

“Belia bukan sekadar sukan sahaja, mereka juga mempunyai kewajipan yang perlu ditunaikan seperti berumah tangga, memiliki rumah sendiri serta membina kerjaya yang perlu kita bantu dan dorong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi memastikan agenda berkenaan dapat dilaksanakan secara tersusun, Nadarajah memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan agensi di bawah portfolionya termasuk Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pertemuan itu, jelas beliau, bertujuan mendapatkan taklimat mengenai cabaran semasa, selain meneliti cadangan perancangan agensi bagi tahun 2027.

Menurutnya, semua agensi turut diminta meneliti dan menyelaraskan 113 inisiatif manifesto Kerajaan Negeri supaya pelaksanaannya selari dengan pelan tindakan 100 hari yang ditetapkan Ketua Menteri.

“Dalam masa terdekat kita akan membentangkan pelan sasaran 100 hari sebagai Exco terlebih dahulu sebelum melancarkan sebarang program baharu.

“Kita tidak mahu melakukan sesuatu secara tergesa-gesa, sebaliknya bergerak secara teratur, menganalisis setiap keperluan dan melaksanakannya satu persatu,” katanya.

Nadarajah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu itu memandangkan ia merupakan kali pertama beliau menerajui portfolio berkenaan.

Bagaimanapun, beliau komited membina hubungan kerja yang baik dengan semua agensi serta masyarakat bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post ANAK PERTAMA LAHIR 2027 LAYAK TERIMA SSPN RM100 – DIRA