MELAKA MOHON TAMBAH EMPAT TASKA PERPADUAN – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 26 November – Kerajaan Negeri akan mengangkat permohonan kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi menambah sekurang-kurangnya empat Taska Perpaduan di Melaka.

Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, keperluan itu susulan kapasiti empat Taska Perpaduan di negeri ini yang menawarkan kuota keseluruhan 97 kanak-kanak sudah dipenuhi.

Katanya, penambahan pusat jagaan itu penting terutama di kawasan berpenduduk padat amat penting bagi memenuhi keperluan keluarga memerlukan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang selamat dan dipercayai.

“Keperluan ini semakin mendesak memandangkan ramai pasangan suami isteri terpaksa bekerja dan memerlukan tempat sesuai untuk menghantar anak-anak mereka.

“Jadi saya sudah berbincang dengan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka untuk mengangkat permohonan kepada kementerian supaya kita dapat menambah sekurang-kurangnya tiga atau empat lagi Taska Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Program Generasi Cilik Perpaduan: Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPNIN Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff dan Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Melaka Kristina Sipin.

Fairul Nizam berkata, penambahan itu diharap dapat memberi lebih banyak peluang kepada keluarga mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang bersesuaian, khususnya bagi pasangan suami isteri yang bekerja.

“Lokasi baharu yang dicadangkan juga perlu memberi tumpuan kepada kawasan berpenduduk padat bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan lebih ramai keluarga memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post BAN HONG SUSUN LANGKAH REDAKAN KESESAKAN HOSPITAL MELAKA