RISIKO KEMALANGAN DI LALUAN GELAP, RIDZUAN BAWA ISU KEPADA JKR

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT KATIL 27 November – Keadaan beberapa kawasan yang gelap di laluan dari Bulatan Bukit Katil Permai menghala ke Bukit Pulau, di sini, akibat lampu jalan tidak berfungsi mencetuskan kebimbangan berikutan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berkata, masalah berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah berpotensi meningkatkan risiko kemalangan, khususnya membabitkan penunggang motosikal.

Muhammad Ridzuan yang juga Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana negeri berkata, bagi mendapatkan gambaran sebenar beliau turun padang untuk meninjau sendiri keadaan di lokasi berkenaan susulan aduan diterima daripada orang ramai.

“Hasil tinjauan mendapati banyak lampu sepanjang laluan ini tidak berfungsi sehingga menyebabkan keadaan persekitaran menjadi gelap dan memerlukan tindakan segera pihak bertanggungjawab.

“Bila tengok sendiri, memang agak banyak lampu yang gelap dan keadaan ini tentunya boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Susulan itu, Ridzuan berkata, beliau telah menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan perhatian serta tindakan lanjut untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa kemudahan lampu jalan di laluan terbabit berada di bawah seliaan JKR dan berharap kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera.

“Saya berharap isu ini tidak berlarutan memandangkan pencahayaan jalan yang mencukupi merupakan antara aspek penting dalam memastikan keselamatan pengguna, selain memberikan keyakinan kepada penduduk untuk menggunakan laluan itu tanpa rasa bimbang,” katanya.

Beliau berharap tindakan segera pihak bertanggungjawab dapat memastikan laluan berkenaan kembali terang dan selamat, sekali gus mengurangkan risiko kejadian tidak diingini terutama pada waktu malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post 3.5 JUTA PELANCONG KESIHATAN PILIH MELAKA