
3 AGENDA STRATEGIK PERKUKUH PSH SEBAGAI HOSPITAL DIYAKINI
BANDARAYA MELAKA 27 November – Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka perlu memperkukuh kapasiti perubatan, memperluas kerjasama strategik serta meningkatkan standard perkhidmatan bagi memastikan institusi itu terus menjadi pilihan dan diyakini masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, tiga keutamaan strategik berkenaan perlu diberikan perhatian dalam usaha memperkukuh kedudukan PSH sebagai institusi perubatan yang berdaya saing di peringkat nasional dan serantau.
Menurutnya, keutamaan pertama adalah meningkatkan kapasiti serta kepakaran perkhidmatan perubatan menerusi pelaburan teknologi terkini dan pembangunan tenaga profesional kesihatan.
“Kedua, PSH juga perlu memperluas jaringan kerjasama strategik dengan institusi perubatan dan rakan industri di dalam serta luar negara, khususnya dalam pasaran ASEAN.
“Ketiga, memperkukuh standard perkhidmatan, keselamatan pesakit dan pengalaman pelanggan agar PSH Melaka terus menjadi institusi perubatan yang diyakini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan di Lobi Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Zukiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Pelaburan dan Industri negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka Sdn Bhd Mohd Zahiruddin Ahmad serta Pengurus Zon GE HealthCare bagi Singapura, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Laos, Dede Yan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong agenda transformasi sektor kesihatan Melaka menerusi pemodenan infrastruktur perubatan, pembangunan kepakaran serta pelaksanaan pelaburan strategik.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi meningkatkan daya saing negeri dalam sektor kesihatan, selain memperkukuh keupayaan penyediaan perkhidmatan perubatan berkualiti kepada masyarakat.
“Usaha ini penting bagi meningkatkan daya saing negeri dalam sektor kesihatan, selain memperkukuh keupayaan penyediaan perkhidmatan perubatan berkualiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

