
MELAKA SASAR TINGKAT INDEKS KESEJAHTERAAN KELUARGA
GADEK 28 November – Melaka mencatatkan skor 7.83 daripada skala 10 bagi Indeks Kesejahteraan Keluarga berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2022.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu menjadi asas untuk Kerajaan Negeri terus memperkukuh kesejahteraan institusi keluarga menerusi pendekatan yang mengambil kira perubahan keperluan serta cabaran kehidupan masyarakat masa kini.
Menurutnya, cabaran keluarga masa kini semakin kompleks apabila ibu bapa bukan sahaja perlu mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab membesarkan anak, malah berdepan tekanan kos sara hidup serta cabaran mendidik anak dalam persekitaran digital.
“Realiti inilah yang perlu kita ambil kira dalam usaha meningkatkan kesejahteraan institusi keluarga.
“Berdasarkan kajian LPPKN pada 2022, Melaka mencatatkan skor Indeks Kesejahteraan Keluarga sebanyak 7.83 daripada skala 10 dan tentunya kita mahu melihat skor ini terus meningkat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Hadir sama, Timbalan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Siti Aisyah Mahmood; Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN Adzmel Mahmud; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, pembangunan negeri perlu bergerak seiring dengan keperluan dan aspirasi rakyat supaya setiap peluang yang diwujudkan serta dasar yang digubal dapat memberikan manfaat langsung kepada kehidupan keluarga.
Menurutnya, komitmen memperkukuh institusi keluarga itu turut dizahirkan menerusi tema sambutan ‘Kasih Keluarga, Jiwa Negara’ yang selari dengan gagasan dibawa Kerajaan Negeri iaitu Melaka Sayang Rakyat.
Katanya, kesejahteraan keluarga perlu terus menjadi antara pertimbangan utama dalam setiap perancangan pembangunan negeri bagi memastikan kemajuan yang dicapai turut membawa kehidupan lebih baik kepada rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

