KEM SOLAT JADI KEUTAMAAN 100 HARI PORTFOLIO AGAMA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT PALAH 29 November – Pelaksanaan Kem Solat dengan kerjasama masjid terlibat dan imam Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi antara keutamaan Datuk Rais Yasin sepanjang 100 hari pertama beliau menerajui portfolio agama Melaka.

Rais yang menggalas portfolio Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri berkata, Kem Solat akan dimulakan terlebih dahulu manakala Kem Motivasi turut disebut antara program dalam agenda 100 hari itu.

Katanya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), imam DUN, jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diminta bersama-sama memberikan sokongan, sekali gus menjayakan program yang disusun.

“Kem Solat ini dilaksanakan dengan kerjasama masjid-masjid yang terlibat. Itu yang kita akan mulakan dulu.

“Sepanjang program ini dilaksanakan saya juga minta MAIM dan JAIM agar turut memberikan perhatian aspek kebajikan, termasuk keperluan masjid-masjid ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen Masjid dan Surau Negeri Melaka 2026 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Sementara itu ketika menyampaikan ucapan perasmian, Rais menekankan peranan jawatankuasa masjid dan surau dalam memastikan masjid kariah terus diimarahkan menerusi penganjuran program secara berterusan.

“Imam DUN perlu bekerjasama dengan pihak masjid untuk menyelaras program pembangunan sahsiah serta pengimarahan di kawasan masing-masing.

“Laksanakan program-program sahsiah ummah, program-program untuk mengimarahkan masjid di kawasan DUN-DUN tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post UNIMEL KEKAL PILIHAN MAJIKAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT