UNIMEL KEKAL PILIHAN MAJIKAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 28 November – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) mengekalkan pengiktirafan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN) pilihan majikan di Malaysia menerusi Talentbank Malaysia Employer’s Choice Award 2026.

Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly berkata, pengiktirafan itu menjadikan UNIMEL satu-satunya IPTN di Malaysia yang berjaya mengekalkan rekod berkenaan selama dua tahun berturut-turut bagi bidang pengajian yang ditawarkan.

Menurutnya, penarafan dan pengiktirafan seumpama itu penting dalam meningkatkan keterlihatan UNIMEL dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pencapaian ini turut menjadi nilai tambah dalam memastikan UNIMEL terus menjadi destinasi pilihan pelajar tempatan serta antarabangsa.

“Pengiktirafan ini juga merupakan antara strategi universiti dalam memenuhi kriteria pengekalan status universiti penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-28 bagi sidang satu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Terdahulu pengisytiharan pembukaan istiadat berkenaan telah dilafazkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh merangkap PRO Canselor UNIMEL; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Tambahnya, bagi memastikan perjalanan urus tadbir universiti yang lebih sistematik, Sistem UMIS@UNIMEL yang dilengkapi dengan 10 modul bersepadu sedang dibangunkan.

“UNIMEL kini giat memastikan sistem pengurusan universiti dapat disempurnakan dan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2027 ke arah keterjaminan ekosistem tadbir urus dan perjalanan yang lebih efisien dan cekap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

173
Kongsi :
Previous post ‘PUTERA PUTERI DONDANG SAYANG X CABARAN ZAPIN’ HIDUPKAN WARISAN MELAKA