TOK LI SUSUN LANGKAH ATASI BANJIR KUALA LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LINGGI 29 November – Usaha menangani risiko banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi terus dipergiat menerusi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan sistem saliran serta longkang di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah berkata, kerja penyelenggaraan berkenaan dilaksanakan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di DUN itu baru-baru ini.

Menurutnya, saliran tersumbat dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir, selain taburan hujan luar biasa yang melanda negeri ini.

“Alhamdulillah, selesai kerja-kerja menyelenggara dan membersihkan parit sekitar Kampung Tanjung Dahan dan Kampung Kuala Linggi.

“Semoga gerak kerja yang dilaksanakan dapat mengurangkan risiko banjir pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Rosli yang juga Timbalan Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana negeri berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Japerun bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga mesra dengan panggilan Tok Li, turut meluangkan masa turun padang bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah bagi meninjau keadaan longkang yang dikenal pasti antara punca berlakunya banjir di Kampung Telok Gong, Kampung Tengah dan Bukit Darat.

Katanya, permohonan bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan sistem perparitan di kawasan terbabit diharap dapat diluluskan pada awal tahun hadapan.

“Memandangkan kita sudah berada di penghujung tahun, sama-sama kita berdoa agar permohonan kerja-kerja penambahbaikan sistem perparitan ini diluluskan pada awal tahun hadapan, insya-Allah.

“Saya akan terus berusaha mencari penyelesaian demi mengelakkan masalah banjir ini berulang,” katanya.

Usaha berterusan itu diharap dapat meningkatkan keupayaan sistem saliran setempat sekali gus memberi keselesaan dan menjamin kesejahteraan penduduk sekitar Kuala Linggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post MPHTJ KELUAR 140 NOTIS, 13 KOMPAUN KE ATAS BINAAN HARAM