SUMBANGAN KERUSI RODA TOK MAN, LEGAKAN KESUKARAN PUAN ZALEHA

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SERKAM 29 November – Kesukaran seorang penduduk untuk bergerak selepas mengalami patah kaki kanan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Azman Abdullah yang tampil menghulurkan bantuan sebuah kerusi roda bagi memudahkan urusan hariannya.

Azman berkata, beliau menerima makluman daripada kakitangan Japerun Serkam berhubung permohonan bantuan kerusi roda daripada pemohon dikenali sebagai Puan Zaleha sebelum meluangkan masa menziarahi wanita itu di kediamannya pada Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri berkata, bantuan berkenaan diserahkan sendiri kepada Zaleha bagi membantu memudahkan pergerakannya sepanjang tempoh pemulihan.

“Alhamdulillah, saya turut berkesempatan bertanya sendiri khabar dan kejadian yang menyebabkan beliau terjatuh sehingga mengalami patah kaki kanan.

“Diharapkan bantuan ini dapat memudahkan pergerakan dan urusan hariannya. Semoga Puan Zaleha sentiasa diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook rasminya.

Menerusi video berkenaan, Puan Zaleha dilihat tersenyum gembira ketika menerima sumbangan kerusi roda itu yang diharapkan dapat mengurangkan kesukaran pergerakannya sepanjang menjalani proses pemulihan.

Bantuan berkenaan mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan penduduk setempat, khususnya golongan yang berdepan kesukaran menjalani kehidupan harian akibat masalah kesihatan atau kecederaan.

Usaha itu juga memperlihatkan peranan pusat khidmat wakil rakyat dalam mengenal pasti keperluan masyarakat menerusi aduan yang diterima, sebelum menyalurkan bantuan bersesuaian bagi meringankan beban mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

242
Kongsi :
Previous post TOK LI SUSUN LANGKAH ATASI BANJIR KUALA LINGGI