30 warga tempatan kunjungi pusat hiburan dikompaun RM1,000

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Seramai 30 warga tempatan dikompaun masing-masing RM1,000 kerana mengunjungi pusat hiburan, yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat masih tidak dibenarkan beroperasi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua 30 individu yang dikompaun itu terdiri daripada sembilan lelaki dan 21 wanita.

“Selain itu, seramai 52 bukan warganegara masing-masing 27 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun yang berada di dalam premis di Jalan Bukit Bintang, berkenaan turut ditahan.

“Mereka akan disiasat di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi Bernama, Noor Dellhan berkata pemilik premis pula akan dirujuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang akan disiasat di bawah Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 bagi pembatalan lesen.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan, serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang jelas tidak dibenarkan di bawah PPN Fasa Empat,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

637
Kongsi :
Previous post Mohon Melaka iktiraf Datuk Naning
Next post Tempahan janji temu dos penggalak kini tersedia di MySejahtera
Ubah saiz-+=