Sorting by

×

3,278 GRADUAN DIRAIKAN PADA ISTIADAT KONVOKESYEN UTEM KE-21

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 28 Oktober – Seramai 3,278 graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 yang akan berlangsung di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kesemua graduan berkenaan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari dan dibahagikan kepada enam sesi.

“Daripada jumlah tersebut, graduan Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 93 orang, Ijazah Sarjana seramai 202 orang, Ijazah Sarjana Muda seramai 2,604 orang dan diploma pula 379 orang.

“Peratusan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UTeM pula adalah seramai 71 peratus merangkumi pelbagai program pengajian yang telah mereka ikuti di UTeM.

“Antara kursus berteraskan TVET ditawarkan adalah teknologi kejuruteraan dalam bidang elektrik, elektronik, mekanikal, pembuatan serta sains komputer, pengurusan teknologi serta teknousahawanan,” katanya.

Sementara itu, seramai 76 orang graduan akan menerima anugerah-anugerah utama yang akan disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama majlis konvoksesyen nanti

“Antara anugerah utama adalah seperti Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Khas Industri, Anugerah Khas Huffaz Profesional, Anugerah BEM President Award dan Anugerah TUAH.

“Terdapat 11 Anugerah Khas Industri yang akan diberikan kepada pelajar dan uniknya UTeM telah mendapat tajaan khas daripada beberapa pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri,” katanya.

Menurutnya turut diraikan adalah 92 graduan antarabangsa pasca siswazah dari 13 buah negara antaranya seperti Amerika Syarikat, Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Pakistan dan Yaman.

Pada masa yang sama Pesta Konvo UTeM diadakan bertempat di Tapak Pesta Konvo berhampiran Dewan Canselor bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 malam.

Orang ramai adalah dijemput bagi memeriahkannya dengan pelbagai aktiviti dan program menarik bakal disajikan kepada para pengunjung dan masuk adalah percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post RM121 JUTA DISALURKAN KEPADA LEBIH 29,000 PENERIMA BANTUAN JKM DI MELAKA
Next post GERBANG PANTUN MELAKA HIMPUN LEBIH 10,000 RANGKAP PANTUN