
4 PROGRAM BESAR WARNAI WRUR SUNGAI UDANG
AYER KEROH 17 Mei – Empat program berskala besar peringkat negeri dijadualkan akan berlangsung sepanjang dua minggu program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang diadakan.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, program WRUR Sungai Udang yang bermula esok sehingga 30 Mei depan padat dengan pelbagai pengisian program turun padang pemimpin bersama rakyat.
“Untuk WRUR DUN Sungai Udang ini pelbagai isu-isu diketengahkan sejak dari awal lagi untuk mencari penyelesaian namun begitu ada segelintir daripadanya sudah dapat ditangani dan diselesaikan.
“Selain itu untuk WRUR DUN Sungai Udang ini terdapat empat program besar akan dilaksanakan iaitu Sambutan Hari Tibi Peringkat Negeri Melaka; Sambutan Hari Ibu; Pertandingan Dondang Sayang dan Sungai Udang Berselawat.
“Yang pastinya program-program ini akan melibatkan penyertaan komuniti setempat, selain pelbagai agensi terlibat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program WRUR Sungai Udang di Bilik Tun Mutahir, Seri Negeri, semalam.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, penduduk yang mempunyai sebarang pemasalahan atau aduan boleh hadir ke Hari Bertemu Rakyat pada hari terakhir WRUR DUN Sungai Udang, 30 Mei depan.
“Hari Bertemu Rakyat kita akan adakan pada 30 Mei dan dijangka pada hari tersebut akan menerima banyak isu-isu dan pemasalahan yang dibawa oleh rakyat DUN Sungai Udang.
“Ini adalah medan untuk mereka suarakan apa yang mereka perlu, apa kekurangan dan apa juga yang pemimpin atau Kerajaan Negeri perlu diperbaiki demi kesejahteraan rakyat.
“Namun begitu mereka perlu faham pemasalahan atau isu yang dikemukakan tidak dapat diselesaikan segera pada waktu itu, ia akan kita uruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.