
BAS.MY DIJANGKA ‘KEMBALI’ KE DUYONG
DUYONG 17 Mei – Laluan baharu akan dikenal pasti bagi melancarkan perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY akan kembali beroperasi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, perkhidmatan bas itu sebelum ini dihentikan seketika sejak tahun lalu selepas pengambil alihan daripada syarikat Panorama Sdn. Bhd. pada Oktober lepas.
Katanya, simulasi laluan bas itu sudah dilakukan bersama pihak pengurusan bas membabitkan beberapa laluan antaranya Semabok Luar, Semabok Dalam, Duyong Tengah, Permatang Duyong, Seri Duyong dan laluan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek, baru-baru ini.
“Pihak pengurusan bas sudah menyatakan persetujuan untuk kembali meneruskan operasi di Duyong, justeru itu kajian laluan perlu dilakukan bagi menentukan kewajaran laluan.
“Ini bagi memastikan sama ada terdapat keperluan daripada penduduk setempat atau sebaliknya. Dalam perjumpaan bersama pihak pengurusan bas terbabit banyak perkara dibincangkan.
“Antaranya tempoh masa, kekerapan bas dan paling penting bas ini perlu melalui kawasan sekolah kerana ini untuk memudahkan ibu bapa yang tiada kenderaan untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.
Terdahulu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri menyampaikan sumbangan kepada guru sempena sambutan Hari Guru 2025 di SMK Seri Duyong, di sini, semalam.
Menurutnya, sekiranya perkhidmatan bas henti-henti itu kembali beroperasi kira-kira 10,000 penduduk sekitar DUN Duyong akan menerima manfaat daripada kemudahan pengangkutan awam itu.
“Perbincangan bersama pengurusan BAS.MY dibuat memandangkan saya menerima banyak permintaan yang mahukan kembali perkhidmatan pengangkutan awam itu diteruskan.
“Dalam perjumpaan itu tiga pilihan laluan turut dikemukakan sekiranya cadangan itu dipersetujui,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.