
PELAJAR TAHFIZ CEMERLANG DITAWAR BIASISWA PENUH DI UNIKL, UPTM
AYER KEROH 17 Mei – Pelajar-pelajar tahfiz seluruh negara yang cemerlang memperoleh keputusan 10 A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dicadang akan diberikan biasiswa penuh ke institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua institusi pengajian itu adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Jelas beliau, usaha itu dilakukan bagi mengangkat martabat pelajar tahfiz, di mana selain bergelar menghafaz al-Quran, mereka juga dapat bergelar ahli-ahli profesional suatu hari nanti.
“Biasiswa 100 peratus ini memang diamalkan oleh Institut Pendidikan MARA (IPMA) kepada pelajar-pelajar cemerlang dan untuk (pengambilan) UniKL dan UPTM, kita akan beri keutamaan kepada pelajar maahad tahfiz pada tahun ini.
“Selain mereka menjadi huffaz atau penghafal Al-Quran, mereka juga akan menjadi ahli-ahli profesional (selepas tamat belajar),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, wakil Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Mustafa Musa; Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka merangkap Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Prof Datuk Dr Mizan Hitam; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan lain-lain kenamaan.
Terdahulu, majlis itu meraikan seramai 82 pelajar yang menyelesaikan hafazan 30 juzuk Al-Quran sepanjang 2024 manakala 46 pelajar mendapat sijil penghargaan SPM 2024.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyuarakan keyakinan bahawa kombinasi pendidikan Islam dengan hafazan 30 juzuk al-Quran bukan sahaja mampu menerangkan hati dan minda anak-anak, bahkan dapat membantu dalam kecemerlangan akademik.
Beliau berharap suatu hari nanti, pelajar-pelajar tahfiz ini dapat menjawat jawatan penting dalam negara, termasuklan bergelar Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara suatu hari nanti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.