Sorting by

×

HAJI KIDS LATIH GENERASI MUDA MELAKA MEMBESAR DENGAN ILMU, IMAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DUYONG 17 Mei – Program Haji Kids Kembara Ke Baitullah bukan sekadar acara simbolik, tetapi medan melatih generasi muda membesar dengan ilmu dan iman sejak usia awal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Lebih membanggakan, jelas beliau, program ilmu itu mendapat penyertaan seramai 1,500 kanak-kanak dari seluruh negeri yang berlangsung penuh meriah di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata program ini turut menyaksikan kanak-kanak seawal usia tiga tahun mengenakan pakaian ihram dan melaksanakan ibadah haji secara simbolik seperti tawaf, sa’i, wukuf di Arafah dan melontar jamrah.

“Alhamdulillah, saya merasa sangat bertuah dapat berada di tengah-tengah ribuan anak-anak hebat negeri Melaka bersama ibu bapa yang sentiasa menyokong dan membimbing anak-anak menuju jalan kebaikan.

“Saya hadir bukan sekadar sebagai Ketua Menteri, tetapi sebagai bapa kepada generasi masa depan yang ingin melihat anak-anak kita membesar dalam suasana ilmu, iman dan kasih sayang.

“Program ini adalah satu permulaan kepada impian besar anak-anak kecil untuk menjadi tetamu Allah SWT yang sebenar suatu hari nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Haji Kids Kembara Ke Baitullah Simulasi Haji Untuk Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2025.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Sdn Bhd Hairul Faizal Izwan Ahmad.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata melalui pendekatan ini, anak-anak bukan sahaja belajar secara teori, tetapi dapat merasai sendiri pengalaman ibadah secara praktikal, sesuai dengan usia mereka.

“Inilah cara terbaik untuk memupuk rasa cinta kepada Allah dan Rasul sejak kecil.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua ibu bapa yang memainkan peranan besar sebagai pendidik utama dan role model pertama dalam membentuk masa depan anak-anak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post PELAJAR TAHFIZ CEMERLANG DITAWAR BIASISWA PENUH DI UNIKL, UPTM
Next post MELAKA JADI LOKASI PENGANJURAN HARI TVET TERBESAR NEGARA – TPM