
STESEN PENYELIDIKAN MPOB PERKUKUH SEKTOR AGRIKOMODITI MELAKA
PANTAI KUNDOR 3 November – Usaha memperkukuh sektor agrikomoditi di Melaka terus dipergiat menerusi pembangunan Stesen Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Sungai Rambai.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, stesen yang pertama di Melaka itu akan dibangunkan diatas tanah seluas 77.92 hektar yang diluluskan Kerajaan Negeri.
Katanya, kemudahan itu bakal dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk ladang model, tapak semaian, makmal penyelidikan dan pusat latihan bagi pelajar termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri.
“Tidak lama lagi, Melaka akan memiliki Stesen Penyelidikan MPOB di Sungai Rambai dan ia akan menjadi stesen penyelidikan MPOB yang pertama di negeri ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
“Sokongan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk bersama-sama dengan KPK memperkasa sektor agrikomoditi di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi Madani @Melaka , yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Hang Lekir, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin serta calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @Hashim.
Sementara itu beliau berkata, sehingga Jun 2026, Melaka merekodkan seramai 7,687 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman seluas 15,278 hektar, dengan sektor berkenaan menjadi antara sumber pendapatan utama bagi menyara kehidupan.
“Usaha memperkasa agrikomoditi di Melaka bukan perkara baharu sebaliknya telah lama digerakkan termasuk kementerian turut mempunyai beberapa aset di negeri ini bagi menyokong pembangunan sektor agrikomoditi.
“Antara aset tersebut adalah Rumah Melaka di Bukit Katil di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang memberi khidmat pengembangan dan perlesenan kepada pekebun kecil getah,” katanya.
Jelas beliau, segala usaha yang dilaksanakan ketika ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sektor agrikomoditi di Melaka terus berkembang, sekali gus meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan pekebun kecil menerusi peluang pembangunan serta sokongan yang lebih menyeluruh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


