BERBEZA PEGANGAN POLITIK BUKAN ALASAN HUKUM MAHASISWA – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

LENDU 3 November – Perbezaan pendapat dan pegangan politik dalam kalangan mahasiswa tidak seharusnya menjadi alasan untuk pihak universiti mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pandangan anak muda perlu diraikan dan bukannya dikenakan tindakan perundangan semata-mata kerana mereka menyuarakan pendapat berbeza.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan mahasiswa masih tertakluk kepada undang-undang negara termasuk undang-undang jenayah.

“Kalau hanya berbeza pendapat dan mereka menyuarakan pendapat anak-anak muda, saya fikir pendapat itu harus diraikan bukan dengan mengambil tindakan perundangan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Apa Khabar Mahasiswa? (Patriotisme Diperkasa) di Dewan Taming Sari, UiTM Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pengecualian diberikan sekiranya mahasiswa terlibat dalam perkara yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja atau 3R, yang menurutnya mempunyai batas perundangan yang jelas.

“Selain daripada itu, kalau berbeza pendapat dan pegangan politik, saya fikir tidak harus diambil sebarang tindakan disiplin oleh pihak universiti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perundangan baharu berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), beliau berkata perkara yang dibincangkan di Kabinet memberikan tumpuan kepada pentadbiran universiti.

Menurutnya, skop berkenaan merangkumi urusan akademik, tadbir urus, pemilihan ahli senat serta pengurusan tertinggi universiti.

“Ada undang-undang yang baharu, namanya lain, tetapi tidak melibatkan para pelajar, tetapi melibatkan soal pentadbiran universiti dalam bidang akademik, dalam tadbir urus universiti dan juga dalam pemilihan ahli-ahli senat, pemilihan untuk tenaga pengurusan seperti Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan sebagainya,” katanya.

Katanya, hala tuju perundangan berkenaan tidak lagi menjurus kepada peruntukan yang menyekat penglibatan mahasiswa dalam aktiviti mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos lalu mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada mahasiswa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘TOK JEZ’ MAHU RTC SUNGAI RAMBAI KEMBALI BERNYAWA
Next post BUKA PELUANG KEDUA KEPADA KLIEN PUSPEN DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI