
MELAKA SASAR PENGIKTIRAFAN UNESCO GLOBAL GEOPARK 2035
BANDA HILIR 3 November – Melaka menyasarkan pengiktirafan UNESCO Global Geopark menjelang 2035 sebagai usaha mengangkat khazanah geologi, biodiversiti dan warisan budaya negeri ke peringkat antarabangsa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu merupakan aspirasi jangka panjang Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pemuliharaan khazanah semula jadi serta warisan yang dimiliki Melaka.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha mendapatkan pengiktirafan berprestij itu perlu memenuhi kriteria dan melalui proses penilaian yang ditetapkan UNESCO.
“Usaha ini memerlukan kesungguhan dan kerjasama erat semua pihak bagi memastikan pembangunan geopark dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Perasmian Sesi Penilaian Aspiring Melaka Geopark di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Zamri Ramli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Melaka, Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Sehubungan itu, Ketua Menteri berkata, inisiatif Rakan Geopark terus diperkukuh dengan penyertaan lebih 50 organisasi merangkumi institusi akademik, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Katanya, penyertaan itu dijangka terus berkembang menerusi fasa kedua bagi memperluas jaringan kerjasama dalam usaha membangunkan serta memulihara khazanah geopark negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

