
MPHTJ TELITI PENYELESAIAN ISU BANJIR TAMAN SUTERA WANGI
AYER KEROH 3 November – Sistem saliran di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam akan ditambah baik menerusi kerja menaik taraf kolam takungan banjir dan membesarkan longkang sedia ada bagi mengurangkan risiko kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, langkah itu dikenal pasti susulan tinjauan pihaknya ke kolam takungan banjir di kawasan berkenaan pada 30 Oktober lalu, selepas menerima aduan penduduk berhubung kejadian limpahan air ketika hujan lebat.
Menurutnya, antara kerja penambahbaikan yang dirancang termasuk menaikkan benteng di sekeliling kolam takungan serta mendalamkan kolam dengan mengeluarkan mendapan selut bagi meningkatkan kapasiti tadahan air.
“Selain itu, pihak pemaju di kawasan ini juga akan membesarkan longkang sedia ada bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat.
“Kita turut meminta supaya kolam takungan itu dipagar bagi memastikan keselamatan orang awam memandangkan kedalamannya boleh mendatangkan risiko sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, tinjauan itu turut dihadiri Setiausaha MPHTJ, Mohd Faizal Mohd Zin; Pengarah Kejuruteraan MPHTJ, Ir. Ts. Zainal Yusoff; Pengarah Penguatkuasaan MPHTJ, Kamarulzaman Abdul Rahman; Ketua Unit Pusat Setempat (OSC), Mohd Zaidi Mohd Said serta kakitangan MPHTJ.
Beliau berkata, pihak pemaju telah memberikan komitmen untuk melaksanakan keseluruhan kerja penambahbaikan berkenaan dalam tempoh empat minggu.
Menurutnya, usaha itu diharap dapat membantu mengatasi masalah limpahan air yang pernah berlaku, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


