PRN MELAKA: PENGALAMAN LIMA TAHUN JADI BEKALAN SITI AISYAH, ISU SALIRAN JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 3 November – Pengalaman berkhidmat selama lima tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Pengkalan Batu menjadi bekalan calon Barisan Nasional (BN), Siti Aisyah Mahmood dalam memahami keperluan serta isu yang dihadapi penduduk setempat.

Beliau yang juga calon nombor 1 DUN berkenaan berkata, penglibatan secara langsung bersama masyarakat menerusi Japerun sepanjang tempoh itu membolehkannya memahami demografi dan geografi kawasan berkenaan, selain membina hubungan dengan penduduk yang sudah biasa mendapatkan khidmatnya.

Menurutnya, pendedahan sepanjang tempoh berkhidmat itu menjadi asas untuk meneruskan usaha membantu masyarakat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 ini.

“Lima tahun saya bekerja di lapangan dan saya sudah mengenali demografi serta geografi Pengkalan Batu. Ramai penduduk juga sudah biasa berurusan dengan saya,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN DUN Pengkalan Batu, Peringgit, di sini, hari ini.

Mengulas isu setempat, Siti Aisyah berkata penambahbaikan sistem perparitan dan saliran antara perkara yang mahu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko banjir, terutama ketika musim tengkujuh atau hujan lebat.

Katanya, pertambahan kawasan perumahan, khususnya di kawasan bandar, perlu disusuli perancangan serta penyediaan sistem saliran yang lebih teratur bagi mengelakkan masalah limpahan air.

“Kalau sistem saliran ini tidak diselesaikan, setiap kali musim tengkujuh atau hujan lebat, penduduk akan berdepan masalah banjir,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya aspek penyediaan sistem saliran diberi penekanan dalam setiap pembangunan perumahan baharu, termasuk mempertimbangkan pewujudan peraturan atau peruntukan undang-undang yang bersesuaian bagi memastikan keperluan itu dipatuhi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post MPHTJ TELITI PENYELESAIAN ISU BANJIR TAMAN SUTERA WANGI
Next post NAIK TARAF GELANGGANG FUTSAL ANTARA HARAPAN BELIA MACHAP JAYA